Kamis, 11 September 2014

Tanyalah pelacur makna kebenaran

Satu tinjauan di kalangan 3,000 orang di China mendapati pelacur lebih dipercayai berbanding kebanyakan kakitangan awam yang lain. Yang lebih baik dari pelacur hanyalah petani dan pekerja agama.


Ini bukanlah satu keputusan yang mengejutkan. Pelacur memang satu pekerjaan yang menghinakan. Tetapi mereka tidak berpura-pura. Mereka tidak berpura-pura dengan pekerjaan mereka. Mereka tidak berlakon baik. Tidak juga cuba menampakkan diri sebagai manusia baik.

Itu di China. Bagaimana di Malaysia? Siapakah manusia yang boleh kita percayai? Selalu kita dengar ada orang berjawatan tinggi yang hartanya lebih banyak dari apa yang boleh didapatkan melalui gajinya. Ada pemimpin politik yang kalah berjudi di luar negara dan pulang berhutang. Ada projek yang tiris tidak sampai ke khalayak yang sepatutnya.

Semua ini senario biasa. Kita sudah tidak kisah lagi. Ada rungutan proposal di copy pastedan projek diserahkan kepada orang lain. Ada cerita-cerita yang kita perlu bawa orang itu dan ini berkaraoke sana sini sebelum boleh mendapat peluang berniaga. Semua ini pendustaan. Pelacur tidak. Dia tidak mengaku sebagai anak dara yang masih suci murni. Dia cuma perlukan khidmatnya dibayar. Itu sahaja.

Sampai tahapnya sekarang, kita tidak percayakan sesiapa lagi. Kalau ada manusia yang menahan kereta kita di tengah malam untuk membantu memperbaiki kereta yang rosak, kita hanya berfikir sekali - yakni jangan berhenti. Itu mungkin penyamun. Kalau ada pembantu penyelidik mengetuk pintu rumah, jangan bukanya. Itu mungkin perompak.

Kita tidak percayakan sesiapa pun. Malah, ada orang yang terpaksa merana seumur hidup mengahwini wanita cantik yang rupanya masih isteri orang. Jadi - siapa manusia yang boleh kita percaya lagi. Ahli politik, penjual insuran dan penjual ubat di tepi jalan? Semua itu tidak perlu diperdebatkan lagi kejujuran mereka.

Malah - ada orang alim yang berfatwa pun adakalanya masih kita sangsi. Tidak percaya? Sesekali tontonlah forum agama di kaca televisyen.

Sampai saatnya kita perlu singgah di Lorong Haji Taib dan Jalan Alor untuk bertanya cerita sebenar dari para pelacur. Mereka manusia mulia yang melakukan kerja hina. Lebih baik daripada manusia hina yang bersembunyi di sebalik topeng kemuliaan.

Tanyalah pelacur makna kebenaran. (http://fakirfikir.blogspot.com/)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar